340 warga asing ditahan di Pasar Borong KL
KUALA LUMPUR: Seramai 340 warga asing terdiri daripada pelbagai negara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Pasar Borong Kuala Lumpur, dekat sini, petang tadi.
Ops Bersepadu yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Imigresen itu bermula kira-kira jam 3.30 petang.
Ketika pemeriksaan dijalankan, pelbagai taktik dilakukan oleh warga asing, termasuk berlagak selamba seolah-olah tidak bersalah sebelum perlahan-lahan melarikan diri.
Ada juga antara mereka yang menyorok di sebalik kotak barang mentah jualan di pasar berkenaan selain sanggup menyembunyikan diri di dalam pondok sampah.
Bagaimanapun, taktik mereka tidak berjaya apabila pemeriksaan rambang terhadap lebih 600 warga asing, mendapati 340 daripada mereka melanggar peraturan Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah salah guna pas, tinggal lebih masa dan tiada permit kerja.
"Kita juga mengesan majikan yang disyaki melindungi dan mengambil pekerja asing tanpa permit, siasatan akan dijalankan terhadap majikan terbabit.
"Semua pendatang tanpa izin yang didapati 'kosong' akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil," katanya ketika ditemui sejurus operasi itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz yang turut menyertai operasi selama dua jam itu berkata, pihaknya memeriksa 70 rumah kedai di Jalan 2, Pasar Borong Kuala Lumpur yang didiami warga asing.
"Kami mendapati kebanyakan rumah berkenaan yang disewa oleh warga asing membuat penyambungan haram dan pihak kami mengambil tindakan merobohkan struktur binaan haram berkenaan.
"Mereka menyewa beramai-ramai di premis berkenaan. Tindakan diambil mengikut peruntukan Seksyen 79 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membuat penyambungan haram.
"Pihak kami akan membuat siasatan lanjut terhadap pemilik premis," katanya.